Thursday, March 5, 2009

Larangan ke luar negara bukan hukuman kepada peminjam PTPTN


Tindakan melarang 78,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke luar negara “bukan hukuman” tetapi untuk menggalakkan mereka berurusan dengan badan itu.

"Ini adalah satu usaha yang diguna pakai oleh semua agensi. Itu bukan satu hukuman," kata menteri pendidikan tinggi.Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengulas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mahmood Adam kelmarin yang dilaporkan berkata, peminjam PTPTN antara 300,000 rakyat negara ini yang dilarang ke luar negara.

Bercakap dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya pagi ini, Mohamed Khaled berkata, tindakan tersebut untuk memaksa "peminjam kronik" – yang tidak menghubungi PTPTN sejak meninggalkan universiti – agar berurusan kembali demi melangsaikan hutang mereka.

"Ini kes-kes kronik. (Peminjam) ini sudah sampai ke peringkat langsung tidak hendak dihubungi dan sebagainya," katanya.

Beliau juga berkata, golongan itu merupakan golongan berkemampuan tetapi tidak menjadikan pembayaran balik hutang itu sebagai keutamaan.

"Ini (peminjam yang dilarang) golongan yang berkemampuan. Kalau dia tidak berkemampuan, langsung dia tidak (boleh) ke luar negara," kata Mohamed Khaled.

"Macam mana (mereka) beri keutamaan (untuk) pergi luar negara bila ada hutang? "Jadi, datanglah bincang. Tidak sepatutnya kita membela kumpulan (peminjam) ini."Mohamed Khaled berkata peminjam lain tidak perlu risau walaupun mereka masih gagal membuat bayaran jika belum mendapat kerja.

"Kadangkala ada yang keluar universiti, terima notis (PTPTN). Saya ingin nyatakan di sini, PTPTN tidak tahu mereka ini sudah bekerja atau belum. "Oleh itu bila terima notis, jangan khuatir. Rujuk pada PTPTN, maklum pada PTPTN sama ada sudah bekerja atau belum bekerja. "Dan kalau belum kerja, maka notis itu dengan sendirinya terbatal," katanya. Sementara itu, mengulas suasana kempen pemilihan Umno yang kelihatan "perlahan", beliau yang juga calon naib presiden berkata, "pemilihan parti bukan macam pilihanraya umum".

Calon mempunyai cara masing-masing menemui perwakilan yang kadang-kadang "tidak perlu didedahkan kepada umum atau mendapat liputan media".Mohamed Khaled juga menolak dakwaan bahawa calon yang mempunyai jawatan dalam kerajaan seperti menteri mempunyai lebih peluang memenangi kerusi yang ditandingi.


No comments: