Monday, September 6, 2010

TINTA PRESIDEN MSK

Assalamu’alaikum w.b.t


Salam Eidulfitri..


Eidulfitri yang akan datang merupakan peluang dan anugerah Allah kepada kita bagi merayakan kejayaan kita semua setelah sebulan menahan lapar dan dahaga menjunjung titah Yang Maha Kuasa. Atas semangat juang bertarung dengan hawa nafsu, hati-hati kita suci dari segala noda. Lantas, kesucian ini mestilah diterjemahkan dengan tingkah laku yang berpaksi titah Yang Maha Kuasa.


Bicara saya ingin mengajak saudara-saudari yang berjiwa besar bermuafakat membawa obor Islam ke puncaknya. Hanya aksi dan tindakan kita menterjemahkan ilmu yang ada di dewan kuliah sahaja akan dapat kita rasai betapa nikmatnya bernaung di bawah limbungan Islam. Kita amat bertuah dikurniakan sebuah negeri yang sungguh murni cita-citanya yang mahukan Islam tertegak menjadi sebuah mercu tanda Khalifah Islamiyyah di persada planet ini.


Dibahu kita terpikul satu amanah untuk memastikan bumi Serambi Mekah ini setiap incinya dihormati hak dan kedaulatannya atas prinsip perlembagaan Persekutuan Negara kita. Isu penafian royalti minyak yang menjadi hak milik rakyat Kelantan, mahasiswa pasti tersentuh dan tersinggung kerana harta pusaka negeri kita dirampas dengan sewenang-wenangnya. Cukuplah media perdana menabur tohmah dan mencerca setiap masa apa yang dilaksanakan oleh kita kerana semata-mata kita mahu kepada Islam. Kita dihumban kekandang salah kerana kita memilih Islam. Yakinlah Allah bersama kita!


Buat seluruh mahasiswa Kelantan, usahlah takut dengan kemegahan istana kebatilan kerana ia akan hancur berderai apabila tiba ajalnya. Rintihan murni yang sentiasa membara dalam sanubari kita ini pasti akan didengari oleh Yang Maha Kuasa. Saya yakin dan percaya kita mestilah bersama dalam arus kebangkitan perubahan negara yang lebih selamat ini. Bahkan kita mesti menjadi tentera-tentera yang berada di barisan hadapan dalam mempertahankan hak dan milik kita. Kerana kita dilahirkan untuk mempertahankan keadilan Islam dan menyanggah setiap ketidakadilan dan kepincangan.


Buat semua mahasiswa, eratkan persaudaraan sesama kita atas semangat Muhajirin dan Ansor, timbalah ilmu sebanyak mungkin, berusahalah sedaya mungkin menjadikan peribadi kita sejambak contoh sebagaimana peribadi Rasulullah SAW.


Salam sayang dan Salam Eidulfitri dari saya dan kepimpinan MSK buat semua. Kita rakyat bermaruah, melangkah gagah melakar sejarah.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin.


Sekian.

“MAHASISWA MENDEPANI PERUBAHAN”

BORHANUDDIN HAJI AHMAD
Presiden Markaz Siswazah Kelantan

No comments: