Monday, September 19, 2011

Memahami Negara BERkebajikan Dalam Islam..Jom pakat-pakat baca.


Bismillahir rahmanir rahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan kepada mukmin di atas muka dunia ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan besar kita Baginda Nabi Muhammad SAW. Pejuang penegak Islam di Mekkah, pemimpin awal di Madinah, yang sentiasa menjaga kebajikan dalam Islam dengan berjihad bersungguh-sungguh, tanpa rasa jemu, penat lelah, lemah, dan patah semangat. Membawa Islam dalam kehidupan manusia yang asalnya jahil dan tidak mengikut fitrah yang suci dan murni. Menggunakan sepenuhnya Islam dalam segenap penjuru kehidupan tanpa pemisah seincipun, tidak kira dari sudut kepimpinan dalam memerintah sesebuah Negara, mengepalai pasukan tentera, ketua keluarga, dan usahawan yang berjaya dimana akhlak Islam sudah terpancar sebelum dilantik menjadi rasul.

Membuat kebajikan dan menyeru kebajikan, Dialah Allah SWT dan pesuruhnya yang telah melaksanakan 1400 tahu dahulu. Kita umat hanya mengikuti sunnah dan aturannya berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah berdasarkan kefahaman para-para ulama yang bakal menjadi umara’ bagi penduduk dunia iaitu Ijma’ dan Qias. Selagi tidak ada pertentangan dengan aturan syariat maka tidak ia dipanggil haram dan masih boleh dilaksanakan dan dijadikan agenda. Jika tidak mana mungkin wujud wasilah perjuangan dari pelbagai sudut seperti politik, badan bukan kerajaan, dsbgnya.
Bila Islam menyebut kebajikan, apakah sama dengan barat yang telah menyebut kebajikan? Tidak, dalam firman Allah SWT :-

“Bukanlah kebajikan itu menghadapkan wajah kamu kearah timur atau barat, tetapi kebajikan itu ialah sesiapa yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberikan harta yang dicintainya kepada keluarganya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yg memerlukan pertolongan), dan orang yang meminta-minta, dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan,dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar bertaqwa.” al-Baqarah ayat: 177  

Menghadapkan wajah kamu kearah timur dan barat membawa maksud nilaian yang dibuat oleh manusia mengikut naluri manusia semata-mata tanpa menilai mengikut sumber asas utama manusia yang beriman iaitu al-Quran dan as-Sunnah, sirah Khulafa’, Anbia, Ijma’ dan Qias Ulama’. Barat pula menilai kebajikan dari sudut pandangan lahiriah semata-mata tanpa menilai dari sudut kekuatan rohani sehingga wujud kelemahan yang amat besar sewaktu perlaksanaannya. Begitulah bila Allah SWT menyebut bukanlah kebajikan itu menghadapkan wajah kamu ke arah timur atau barat iaitu suatu sisi yang kita boleh lihat dengan mata dan jasad kita, namun Allah SWT menjelaskan kebajikan dari sisinya pula.
Dan Allah SWT juga menjelaskan mengenai kebajikan yang sebenar yang disusun oleh Allah SWT. Dan jelaslah kebajikan disini adalaah suatu yang berkait rapat dengan keteguhan rohani tanpa meninggalkan lahiriah. Mengutamakan kebajikan(amalan) antara hamba dengan Allah (Hablum minallah) iaitu beriman. Kemudian kebajikan sesama makhluk (hablum minannas) tidak kira dari pemimpin atau rakyat. Sentiasa saling “BERKEBAJIKAN”

Kebajikan pemimpin terhadap rakyat selepas saling berkebajikan ialah menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah kepada yang mungkar.
Dalam Firman Allah

“Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Merekalah orang-orang yang mendapat kejayaan.” Ali imran 104

Segolongan yang disebut bermaksud secara organisasi dan organisasi tersebut boleh jadi adalah pemimpin. Salah satu tanggungjawab pemimpin adalah memastikan rakyatnya beriman dengan Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW. Ini sesuai dengan apa yang dilakukan oleh khalifah pertama iaitu  Saidina Abu Bakar as-Siddiq selepas wafatnya baginda, yang memerangi golongan murtad dan nabi-nabi palsu. Ini adalah satu amalan yang utama bagi seorang pimpinan berdasarkan Aulawiyyatul ‘Asri (keutamaan semasa). Setakat penjelasan ini apakah sama Negara Berkebajikan yang Islam sebut dengan Welfare State yang diamalkan oleh Barat? Tidak
.
Kebajikan untuk semua rakyat dan masyarakat majmuk. Berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar yang bergerak memerangi golongan murtad dan nabi-nabi palsu. Kebajikan kepada ahlul Zimmah (orang kafir dibawah pemerintahan Islam) wajib diberikan. Kerana tuntutan agama juga. Ia berbeza dengan memerangi anggota riddah yang dilaksanakan oleh Saidina Abu Bakar, kerana dalam undang-undang dan peraturan islam, golongan murtad adalah wajib dibunuh jika enggan bertaubat. Namun dalam konteks Negara majmuk pula kita kena menilai amalan Baginda Rasulullah SAW yang menerima wahyu dari Allah SWT :-

“Dan jika seorang diantara orang-orang musyrikin itu (bukan Islam) meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah SWT, kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui” at-Taubah ayat: 6

Dan dalam amalan lain Rasulullah yang dicatatkan oleh ahli sirah, Baginda telah mengadakan persefahaman dengan semua kaum di madinah tidak mengira agama suku dan bangsa. Dan perjanjian itu dinamakan sebagai Sahifah Madinah (Piagam Madinah). Mereka membuat perjanjian untuk bersama menegakkan keadilan, keselamatan, keamanan, dan menentang kezaliman, serta hak bersama dalam bermasyarakat dan beragama.
Kita menilai pula dari sudut rukun Kenegaraan. Apabila disebut negara Islam tidak terlepas daripada mempunyai rukun, seperti kita melakukan ibadah lain, pada asal tidak disusun pada zaman rasulullah tentang rukun-rukun suatu ibadah. Dan lahir para ulama’ dan anbia’ menyusun segala macam ilmu Islam. Dan semua fasal dalam bab ibadah mempunyi rukun tertentu yang dirujuk melalui al-Quran dan al-Hadith dan juga ijma’ para sahabat. Inilah dia Islam, tiada pemisah antara kehidupan dan agama sebagaimana disebut oleh Allah SWT :
“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku” az-Zariat ayat: 56

Allah SWT memberitahu kita bahawa segala amalan kita dalam kehidupan adalah dicatat. Kembali dalam konsep Kenegaraan, Para Ulama’ menilai ayat-ayat Allah SWT dan juga hadith-hadith Nabi SAW untuk menyusun rukun dalam negara.


Antara rukun kenegaraan :-
    (1)Pemimpin
Pemimpin yang beriman, ia adalah asas kebajikan dalam diri seorang pemimpin. Kebajikan tanpa keimanan adalah kepimpinan yang zalim, terdedah kepada sifat menipu, tidak berakhlak, menyalahgunakan kuasa dan tidak dapat berlaku adil. Sebagimana firman Allah SWT :-
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum diantara manusia supaya menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah member pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kau. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” An-Nisa’ 58.

Firman Allah :-
“Iaitu orang-orang yang jika kami teguhkan keddudukan mereka dimuka bumi nescaya mereka sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.” al-Hajj 41

Inilah dia ciri pemimpin yang beriman, apabila diberi pangkat dan darjat (dilantik menjadi pemimpin) dikalangan rakyat ia mengambil peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, dengan melaksanakan keseluruhan suruhan Allah SWT, tanpa meninggalkan sedikitpun arahan Allah. Amanah yang terbesar(terberat) diatas muka bumi ini adalah kepimpinan Negara yang mengurustadbir seluruh urusan rakyat dan Negara sehinggakan tidak sanggup dipikul oleh gunung-ganang, langit dan bumi akhirnya diambil oleh manusia yang kebanyakannya jahil dalam urusan ini.Sebagaimana firman Allah SWT :-
“Sesungguhnya kami telah menawarkan amanat kepadda langit, bumi,dan gunung-gunung, tetapi mereka enggan memikulnya (kerana amat berat) khawatir tidak dapat melaksanakannya, lalu dipikullah urusan(amanat) itu oleh manusia. Sesungguhnya manuisa itusangat zalim dan bodoh. al-Ahzab ayat: 72
  
    (2)Perlembagaan (undang-undang)
Undang-undang atau perlembagaan mestilah berteraskan Islam dan tidak terpesong daripada al-Quran dan as-Sunnah dan juga Ijma’ dan qias para sahabat,  para ulama, dan para anbia. Undang-undang yang adil kepada rakyat tanpa mengira agama, bangsa, suku, atau kaum. Sebagaimana firman Allah SWT:-

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik(kebajikan) dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama, dan tidak (pula)mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” Al-Mumtahanan

Sebagaimana terjadi Piagam Madinah yang dimaterai oleh semua suku yang terbesar di Madinah iaitu suku Ansar (Aus dan Khazraj yang telah dipersaudarakan oleh Rasulullah), Yahudi (ahlul zimmah) dan juga kaum Muhajirin (orang Islam yang berhijrah bersama Rasulullah).
Piagam Madinah adalah perlembagaan pertama dalam sirah baginda. Undang-undang yang membawa keamanan Negara.
Firman Allah :-
 “Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Dia menerangkan kebenaran dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan.” Al-an’am 57

Kepimpinan yang dilantik mestilah mengadakan undang-undang yang tidak bertentangan dengan aturan Allah SWT. Kerana yang berhak menetapkan hukum hanyalah Allah SWT. Dirujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah serta Ijma’ serta Qias.
  
    (3)Rakyat
Rakyat yang beriman dan melaksanakan kebajikan sesama rakyat dan memberi kebajikan kepada pemimpin juga. Patuh kepada arahan pemimpin selagimana arahan itu tidak bertentangan dengan ajaran Allah dan rasulullah. Disebut oleh Allah SWT :-
“Wahai orang-orang yang beriman,  taatilah Allah dan taatilah rasulullah serta pemimpin dikalangan kamu, kemudian jika kamu berbeda pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” an-Nisa ayat: 59
Inilah arahan Allah SWT yang menyuruh rakyat mentaati Nya dan pesuruhnya seterusnya arahan pemimpin. Rakyat menyokong dan memilih pemimpin yang baik akhlaknya, adil dan tidak zalim, baik ibadahnya, dan berhubungan baik dengan masyarakaN

    (4) ta’awun
Bekerja sama sesama manusia dalam konsep bernegara bermaksud berkebajikan sesama manusia sama ada pemimpin memberi kebajikan kepada pemimpin, kepada rakyat dan rakyat memberi kebajikan kepada rakyat, kepada pemimpin. Bertujuan meninggkatkan keharmonian Negara dan keamanan hidup manusia dalam sesebuah Negara. Saling bekerja sama dalam bab taqwa, kebaikan dan pahala. Firman Allah :-
“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikandan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah SWT, sungguh, Allah sangat besat siksaan-Nya.” al-Maidah ayat: 2

Agenda yang dibawa “Berkebajikan” tidaklah salah dan bertentangan dengan Islam. Tetapi kenapa diwar-war sebagai suatu yang bertentang dengan agenda perjuangan Islam dalam membentuk Negara Islam. Sebagaimana usul fiqh menjelaskan “suatu yang selagi mana tidak ada dalil yang mengharamkan maka semua itu adalah harus”. Disini diselitkan maqasid Harakah Islamiyyah secara ringkas. Maqasid adalah bermaksud tujuan dan hikam perlaksanaan. Sebagaimana perlaksanaan Syariat Islamiyyah. Harakah tidak ketinggalan dalam bab tujuan dan hikmah kewujudannya (maqasid).

Menjaga Agama merupakan agenda utama syariah Islam dan juga Harakah Islami. Apa yang berbeza dari sudut syariat ialah ia tersangat umum. Manakala dari sudut Harakah Islami pula. Bermula menjaga agama bermula dengan individu (fardhul muslim) kemudian dalam lingkungan keluarga (baitul muslim) seterusnya lingkungan yang lebih besar iaitu masyarakat muslim, dan juga dalam lingkungan negara muslim (bermaksud rakyat muslim menjaga agamanya) tanpa memperlekehkan orang-orang bukan muslim, seterusnya yang lebih besar mencakupi seluruh dunia dimana semua orang musllim yang terlibat dengan haraki menjaga agama (daulah islami). 

Sebagaimana sesebuah parti yang menjadi wasilah utama sesebuah perjuangan Islam memenuhi maqasid tersebut. Dengan merebut kepimpinan yang ada demi menjaga agama manusia di seluruh negara. Bagaimana kebajikan ini dapat diberi dan diterima sesama penduduk di sesebuah Negara.
Kesimpulannya Negara Berkebajikan yang disebut dan diwar-warkan oleh Islam ialah negara yang melibatkan urusan antara manusia secara adil, dan juga hubungan yang kuat antara manusia dengan tuhannya iaitu Allah SWT.

Kebajikan Islam yang disebut juga akan dilaksanakan mengikut aturan Islam dengan mengambil kira persekitaran yang wujud, dengan keadaan masyarakat yang pelbagai, bersuku-suku, berlainan agama dan warna kulit. Dengan merujuk sirah Nabawi dan Khulafa’ ar-Rashidin serta pemimpin tajdid yang lahir selepas itu. Bagaimana mengatur hukum yang selari dengan Berkebajikan yang disebut.
Allah SWT berkata bagi memberi peringatan kepada manusia mengenai konsep kenegaraan mengikut pandanganNya:-

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya. Maka apakaah penduduk negeri-negeri itu merasa aman atau selamat dari kedatangan seksaan kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur?. Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan  seksaan kami di waktu dhuha (pagi yang terang) ketika mereka sedang bermain?. Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak terduga)? Tiada yang merasa aman dari siksaan Allah melainkan orang-orang yang rugi” al-A’raf ayat :96-99

Bermula dari peringkat pemimpin tertinggi tidak mendustakan ayat-ayat Allah SWT sehingga kepada rakyat jelata yang menjadi penduduk suatu negeri atau Negara. Inilah yang dikatakan Berkebajikan secara kesimpulannya.

Apa yang baik datangkan oleh yang Maha Sempurna melalui tulisan ini, dan yang cacat dan tidak betul itu juga diletakkan oleh yangMaha pemberi kepada tangan yang menulis ini, agar kita hambanya sentiasa menilai kelemahan diri (kritik internal) dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan bagi menuju Allah SWT. Selawat dan ucapan selamat kepada reference kita yang kedua selepas Rabb iaitu pejuang terhebat selama-lamanya merangkap kekasih Allah SWT. Insan yang paling berpengaruh di atas muka dunia yang ditabal secara rasmi oleh seluruh masyarakat dunia yang Islam mahupun bukan islam. Juga kepada ahli keluarga dan sahabat baginda yang banyak membantu perjuangan baginda sehingga syahid di medan perang, malah ada yang meneruskan perjuangan baginda selepas baginda wafat.


Sekian Wallahu Subhanahu Wa Ta’ala A’lam.
Al faqir ilallah,
PENULIS.
Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan MSK Negeri Kelantan.

No comments: