Sunday, November 27, 2011

PERUTUSAN AWAL MUHARRAM 1433 H (PRESIDEN MARKAZ SISWAZAH KELANTAN)

Assalamualaikum wrt. sahabat Markaz Siswazah Kelantan yang dirahmati Allah sekalian! Pertamanya, marilah kita panjatkan segala puji dan kesyukuran kita ke hadrat Allah kerana masih lagi memelihara kita dengan nikmat Islam dan iman serta segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Andainya kita diberi masa untuk menghitung nikmat yang telah diberikan, nescaya kita tidak akan terhitung banyaknya.

Menjadi insan yang bersyukur adalah bukan usaha yang senang dan juga bukan usaha yang sukar untuk dilakukan. Tidak hairanlah di dalam al-Quran terutamanya, kita seringkali diingatkan agar sentiasa menjadi insan yang bersyukur dalam segenap aspek kehidupan. Allah SWT tidak pernah jemu-jemu mengingatkan kita agar menjadi insan yang tidak ingkar atau kufur dengan segala nikmat yang diberikan oleh-Nya. Bukankah dengan peringatan yang diberikan oleh Sang Pencipta sendiri menggambarkan bahawa untuk menjadi insan yang bersyukur bukanlah sesuatu usaha yang mudah? Ya, kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah untuk menjadi insan yang bersyukur disisi-Nya.

Jika kita merenung kisah-kisah yang dinukilkan di dalam al-Quran, pasti kita akan bertemu dengan kisah umat yang tidak bersyukur. Malah yang teruknya ada yang berani mengaku dirinya sebagai tuhan seperti Firaun pada zaman Nabi Musa a.s. Inilah contoh insan yang benar-benar kufur dan melampaui batas, malah sanggup menentang para Nabi atau Rasul yang mengajaknya supaya menjadi insan yang beriman dan bersyukur. Kisahs ebegini walaupun telah berlalu, namun pengajarannya janganlah turut sama berlalu. Bawalah bersama dalam kehidupan seharian kita. Kini, ada juga insan yang berani mengaku dirinya sebagai ‘rasul’, malah mencipta ajaran tersendiri yang terang-terangan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Kadang-kadang kita tidak perasan bahawa kita sedang menganuti fahaman yang memisahkan di antara agama dan dunia, iaitu sekularisme.Ada juga yang berfahaman atheis iaitu hidupnya tanpa tuhan. Mereka lebih selesa hidup tanpa agama. Bermacam-macam lagi fahaman yang jelas mahumenjauhkan manusia dengan agama dapat kita lihat sekarang. Perancangan musuh Allah yang cukup licik ini perlu kita waspada dan dibimbangi kita secara tidaksedar termakan dengan ‘umpanan’ mereka. Nauzubillah…

Selaku mahasiswa, semestinya mereka perlu kehadapan dan tidak terpesong dengan fahaman-fahaman tersebut. Selain berwaspada terhadap cabaran-cabaran tersebut, mahsiswa juga mesti berusaha ‘mencabar’ diri untuk menjuarai isu-isu kampus, isu-isu tempatan di dalam dan juga luar negara. Sensitiviti mahasiswa terhadap suasana persekitaran dan terus mengambil peluang untuk bertindak sangatlah penting demi membuktikan golongan ini bukan hanya berteori sahaja di dalam kampus. Perkembangan terbaru seperti kebenaran mahasiswa yang berumur 21 tahun ke atas untuk berpolitik mestidimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencetuskan ‘udara baru’ dalam dunia kemahasiswaan sekarang.

Bersempena Awal Muharam 1433H ini, marilah bersama-sama menghayati, menelusuri, merancang serta mengaplikasikan segala ilmu yang dipelajari guna menghasilkan masyarakat yang membina di dalam negara Malaysia yang kita cintai ini.

Akhir kalam, mudah-mudahan kita menjadiinsan yang sentiasa bersyukur dalam erti kata sebenar. Sesungguhnya dianugerahkan nikmat mengecapi Awal Muharam juga merupakan nikmat yang harus kita syukuri juga. Semoga ada perubahan serta penghijrahan yang mampu dilakukankhususnya untuk gerakan mahasiswa pada masa akan datang.
Siiru ‘ala barakatillah…

Yang Mencintai Islam,

Firdaus bin Hj Mohd Yusoff
Presiden,
Markaz Siswazah Kelantan
Sesi 2011-2013

No comments: