Thursday, July 26, 2012

PERUTUSAN SALAM RAMADHAN PRESIDEN MARKAZ SISWAZAH KELANTAN

“Telah diwajibkan keatas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan oleh orang- orang sebelum kamu supaya kamu tergolong di kalangan mereka yang bertaqwa" surah al-Baqarah ayat 183

Alhamdulillah, kesempatan yang cukup berharga apabila sekali lagi kita berkesempatan menemui bulan Ramadan, bulan yang cukup bertuah, bulan Ibadah, bulan AL-Quran, bulan Lailatul-Qadar dan pelbagai nama yang diberikan.
.
Sesungguhnya, bagi kita sebagai hamba perlu berusaha sebaik mungkin meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah, membersihkan jiwa dan diri kita, daripada hambatan nafsu yang sering menodai kehidupan manusia .Bulan Ramadan ini merupakan satu projek bagi kita benar-benar memukul hawa nafsu kita setelah syaitan itu dirantai, agar kita Berjaya mengenderai nafsu kita dan bukannya kita menjadi binatang yang sering kali tumpas dengan godaan nafsu.

Pimpinan Markaz Siswazah Kelantan mengambil kesempatan dalam bulan Ramadhan Kareem ini dengan menubuhkan Skuad Ramadhan Mahasiswa. Skuad ini ditubuhkan untuk memastikan mahasiswa dapat menyumbang bakti sepanjang bulan Ramadhan. Banyak program yang  dirancang seperti “Make Colek bersama Mahasiswa”, XPDC Dakwah, Ziarah mesra ketempat-tempat terpilih, melakukan kerja amal, ijtima’ mahasiswa, tadarus mahasiswa dan banyak lagi. Program-program ini dapat member manfaat kepada mahasiswa serta dapat merapatkan mahasiswa dengan masyarakat.

Marilah kita berlumba-lumba meningkatkan amalan baik yang  fardu mahu pun sunat, semoga segala perhatian dan penumpuan kita terhadap bulan berkat ini dilihat oleh Allah dan dipermudahkanNya mencapai cinta sejati bertemu Tuhan sekalian Alam.

Saya mewakili pimpinan Markaz Siswazah Kelantan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Ramadan Kareem" kepada seluruh mahasiswa dan umat Islam , mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat.
      
                                  “SELAMAT MENGIMARAHKAN RAMADHAN"
Ikhlas Dari,
Mohd Firdaus Haji MohdYusoff
Presiden Markaz Siswazah kelantan

No comments: