Tuesday, April 23, 2013

Mampukah PAS pertahan Kelantan PRU-13?





Negeri Kelantan yang telah ditadbir PAS sejak beberapa dekad lalu merupakan sebuah medan persaingan penting, menyaksikan perebutan 45 kerusi negeri dan 14 kerusi parlimen. Populasi Melayu Muslim sebanyak 95 peratus menjadikannya persaingan utama melibatkan parti PAS dan Umno. Seramai 900,000 pengundi dijangka membuang undi, dengan sejumlah 150,000 bekerja di kawasan bandar di luar Kelantan. 


PAS telah berkuasa secara keseluruhannya selama 42 tahun di negeri ini. Dalam satu tempoh singkat antara tahun 1973-1978, PAS menjadi sebahagian komponen Barisan Nasional pimpinan Umno, tetapi kini menjadi ahli gabungan Pakatan Rakyat. Pada 1990, PAS menyapu bersih semua 39 kerusi negeri dan sejak itu, PAS memenangi Kelantan dalam pilihan raya umum 1995, 1999, 2004 dan terbaharu 2008.  



BN sementara itu sentiasa tewas di Kelantan, kecuali pada 2004 apabila hampir mencapai keputusan mengejutkan dengan memenangi 21 kerusi negeri yang sebahagian besarnya disebabkan oleh sentimen positif terhadap pemimpin baharu Perdana Menteri (Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi. Prestasi BN di kerusi-kerusi parlimen pula lemah, kecuali pada 2004 apabila memenangi lapan kerusi. BN hanya memenangi satu atau dua kerusi antara tahun 1990 hingga 2008.



Pembangunan ekonomi sentiasa menjadi isu popular pada musim pilihan raya, terutama di negeri-negeri lebih miskin seperti Kelantan. Bagi PAS, ini berkaitan dengan isu royalti minyak, yang didakwa secara tidak adil tidak diberikan oleh kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri PAS walau bagaimanapun mendakwa pertumbuhan ekonomi di negeri ini melebihi purata pertumbuhan nasional, walaupun sesetengah pihak menganggarkan jumlahnya secara purata ialah 3 peratus setahun.



BN sementara itu menawarkan rakyat Kelantan satu senarai pelaburan ekonomi, daripada lebuhraya baharu, stadium, projek perumahan, penambahbaikan sistem pengangkutan awam, universiti, dan beberapa projek lain. Walaupun projek seperti ini menarik perhatian semasa musim pilihan raya, isu-isu lain juga diperhatikan oleh pengundi. Antaranya ialah pembinaan sebuah masjid baharu, yang diuar-uarkan sebagai terbesar di Kelantan dan dianggar menelan kos sekitar RM50 juta. Salah satu simbol kunci kepatuhan kepada agama dan sebab utama kejayaan PAS di Kelantan ialah menteri besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dianggap sebagai seorang pemimpin warak oleh pengikutnya. Walaupun pembangunan ekonomi Kelantan ketinggalan berbanding beberapa negeri, parti PAS mempunyai kelebihan kerana pemimpinnya dilihat lebih baik dari sudut agama berbanding parti pemerintah persekutuan. Ini ditambah lagi dengan dasar PAS yang sederhana berbanding BN yang dilihat sebagai bermewah-mewah, satu isu yang berpotensi menyentuh 150,000 pengundi dari bandar yang sebahagian besarnya tinggal di ibu negara.



Sekiranya pilihan raya umum 2008 dijadikan rujukan, hubungan rapat PAS dengan parti-parti dalam gabungan pembangkang persekutuan tidak menjejaskan sokongan daripada kalangan penyokong konservatif. Sokongan kepada PAS cenderung untuk terus kuat dalam kalangan pengundi konservatif di Kelantan. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, PAS kelihatan lebih terbuka berbanding parti Umno yang sekular, sehingga meletakkan calon Cina dalam pilihan raya ini. Ini walau bagaimanapun diimbangi oleh elemen lebih konservatif dalam parti, malah ada kalanya ditenggelamkan oleh pendirian konservatif PAS dalam isu-isu agama.



Tetapi harapan masih ada bagi Umno, yang membuktikan potensi untuk merampas kembali Kelantan pada pilihan raya 2004. Walau bagaimanapun, dalam pilihan raya 2008, kepimpinan Umno Kelantan yang hampir membuahkan kejayaan dipinggirkan - tindakan yang dilihat pemerhati sebagai satu sabotaj dalaman. Walaupun faksi-faksi yang wujud telah berdamai, politik dalaman sentiasa menjadi kelemahan Umno di Kelantan. Kumpulan baharu ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Amanah, juga disebut-sebut mampu menjadi penentu dalam penubuhan kerajaan akan datang, membangkitkan semula ingatan kepada partinya dahulu, Semangat 46 yang pernah bersama pakatan pembangkang.



Walaupun kelihatan menghadapi laluan sukar, masih ada ruang untuk BN di Kelantan. Pertama, perubahan undi sebanyak 7-8 peratus mungkin boleh memberi kelebihan kepada BN. Pada 2004, masa Umno hampirmenawan semula Kelantan, undi popular terbahagi kepada kedua-dua pihak hampir sama rata. Pada 2008, walaupun menyaksikan persembahan buruk, BN memperolehi 43 peratus undi popular berbanding 56 peratus diperolehi PAS. Ini bermakna BN masih mempunyai sokongan agak kuat di Kelantan, dan sedikit perubahan berpihak kepada BN boleh membawa kepada kejayaan yang tidak disangka.



Tambahan lagi, ada enam kerusi negeri yang masyarakat Cina memainkan peranan penting, dan di sinilah dasar 1 Malaysia perdana menteri mungkin dapat menarik undi kepada BN. Walaupun PAS kini giat mempromosi imej baharunya, pendiriannya dalam beberapa isu agama agak kontroversi, dan mungkin menjejaskan undi Cina untuk gabungan PR. Parti-parti politik telah memulakan usaha menghadapi pilihan raya yang bakal menjadi yang paling panas dalam sejarah Malaysia. Beberapa anggaran menunjukkan BN diketuai Umno akan menewaskan PR dengan tipis di peringkat persekutuan. Oleh itu, setiap satu pengundi amat penting, terutama sekiranya BN mahu terus kekal berkuasa. Walaupun sering dilihat sebagai underdog di Kelantan, prestasi yang melebihi daripada biasa bakal menjadi kunci dalam merampas kembali Kelantan dan mengekalkan kuasa di Putrajaya.



Bagi PAS, Kelantan ialah ujian litmus bagi parti ini - sama ada perubahan yang dibawa oleh pakatannya dengan parti-parti lain telah membawa manfaat atau melemahkan lagi kedudukan PAS. Apapun, keputusan pengundi di Kelantan ialah sesuatu yang kritikal dalam pilihan raya umum nanti.



Afif Pasuni ialah felo penyelidik bersekutu Program Malaysia di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Artikel ini ialah terjemahan komentar bertajuk Battle for Kelantan: Will PAS Remain in Power? oleh SiasahDaily, dipetik daripada lamanRSIS Commentaries.

No comments: