Saturday, January 17, 2009

Pilihanraya kampus panas

Pilihanraya kampus kali ini amat hangat sekali dan sama taraf dengan pilihanraya umum ataupun pilihanraya kecil dalam negara. Barang kali kerana edah pilihanraya kampus kali ini sama dengan by pilihanraya kecil di Kuala Terengganu, maka aksinya adalah sama.
Seperti biasa wujudnya surat layang, fitnah, laporan polis dan terkini meletak kepala babi dalam surau di UM. Di UKM, mahasiswa buat laporan polis kerana ugutan dalam SMS dan panggilan telefon. Di UIAM dan UPM pula suara bising berhubung tarikh pilihanraya dan beberapa syarat tertentu, turut berkumandang. Semua ini kebanyakannya berkisar dalam kelompok mahasiswa Islam.
Penulis melihat perkara ini adalah terjemahan daripada sikap pemimpin yang gagal. Gagal bertindak sebagai khalifah dan gagal menjalankan amanah. Kenapa? Pertama soal label. Sebenarnya tidak perlulah diletak label sama ada pro-mahasiswa atau pro-aspirasi kerana semua orang sama ada di dalam atau di luar kampus, termasuk di kampung, sudah tahu bahawa yang mengaku pro-aspirasi itu adalah yang menyebelahi Barisan Nasional, manakala pro-mahasiswa pula ialah pembawa bendera PAS, DAP dan PKR.
Kedua, penulis sangat khuatir dengan tindakan segelintir pihak yang suka menangguk di air keruh. Di saat umat Islam ditekan kiri dan kanan, dalam dan luar negara, maka sangatlah perlu semua mahasiswa mengambil sikap 'ihtiat' (berhati-hati) agar apa-apa yang dilakukan itu, tidak mencederakan akidah walaupun untuk mendapatkan kuasa.
Islam tidak mengiktiraf matlamat menghalalkan cara. Walaupun niatnya baik untuk mewujudkan saf kepimpinan yang Islamik tetapi kalau strategi kempen disaluti dengan najis propaganda hitam, kaedah Machiavelle, petikan nas agama di luar konteks, kemenangan tersebut adalah tidak bermakna, berdosa dan haram.
Ketiga, politik kampus sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat luar agar berpolitik secara sihat sebagaimana kehendak Islam atau ilmu siyasah yang mana matlamatnya untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Amat malang sekali bila mana kini masyarakat tertanya-tanya di mana lagi contoh yang boleh diambil kerana mahasiswa juga turut terpengaruh dengan budaya songsang politik Barat yang menjadi idola tokoh masing-masing.
Penulis menyeru semua mahaguru di universiti agar bangkit untuk membanteras penyakit yang sedang melanda umat Islam di Malaysia ini. Di samping doa, munajat serta solat hajat yang dilakukan saban hari, sumbangan berbentuk tulisan, syarahan, khutbah serta wawancara perlu di pergiatkan lagi oleh kaum cendikiawan agar umat Islam bangkit dari candu politik yang kini kian memakan diri. Ayuh bebaskanlah umat Islam dari rasa syok sendiri, hipokrit dan mimpi yang asyik.
Dipetik dari Malaysiakini

No comments: